SUKAN DAN PERPADUAN
🚴🏻 SUKAN DAN PERPADUAN⛹🏻
BIDANG sukan dilihat masih mampu menjadi landasan dalam memupuk perpaduan antara kaum. Bagi Merak Jalanan, ini bukan retorik tapi satu realiti yang berlaku.
Sukan bukanlah semata-mata aktiviti fizikal yang dilakukan untuk mengisi masa lapang atau sebagai riadah kecil kerana semasa bersukan proses merembes keluar bahan bahan kumuh yang tidak diperlukan tubuh badan berlaku melalui perpeluhan . Mutakhir ini, pemodenan sukan bergerak seiring dengan kemajuan dunia dan membawa falsafah yang lebih berat. Pertumbuhan pelbagai bidang sukan yang rancak ini digerakkan dengan lebih dinamik dan professional melalui pertubuhan bukan kerajaan dan juga Kementerian Belia dan Sukan. Penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga telah banyak membawa manfaat diri, keluarga, masyarakat dan negara. Ironinya, penglibatan masyarakat dalam bidang sukan dapat menunaikan pelbagai hasrat bukan sekadar pertarungan di gelanggang sahaja tetapi juga boleh menambah dan menyumbang sumber pendapatan individu dan keluarga. Sekiranya aktiviti sukan menjadi budaya dalam kehidupan masyarakat bukan sahaja mereka dapat mengakrabkan hubungan sesama masyarakat, malah kesihatan badan mereka juga sentiasa sihat serta kepada mereka yang mempunyai kemahiran dalam bidang sukan mampu pula menjana ekonomi untuk membantu mengurangkan kos sara hidup keluarga. Persoalannya, apakah faedah-faedah bersukan kepada maasyarakat?
Selain itu, bersukan juga dapat mengisi masa senggang individu. Masa lapang sebenarnya amat berharga bagi setiap individu atau masyarakat. Seseorang yang melibatkan diri dalam bidang sukan dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah kerana masa itu emas , walaupun hanya ada beberapa minit, masa itu sangat berharga . Masa lapang ini sangat bermanfaat jika digunakan untuk bersukan bagi mengembalikan tenaga dan melegakan ketegangan atau stres. Bagi golongan remaja pula, penglibatan dalam bidang sukan dapat menghindarkan diri mereka daripada melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral , gejala vandalism serta hedonisme dan membuang masa sia-sia seperti melepak , merokok dan terlibat dalam pengambilan dadah. Malah aktiviti riadah ini dapat menarik masyarakat ke arah memanfaatkan masa lapang dengan cara yang lebih baik. Kesannya amat jelas kerana dengan bersukan sukan ahli sukan mampu meningkatkan swadaya masyarakat dan melangkah gagah dengan yakin sehingga ke peringkat antarabangsa walaupun terpaksa melalui ranjau pidana dunia persaingan hari ini. Jikalau aktiviti senggang ini digunakan untuk beriadah sudah pasti negara akan dapat melahirkan atlet negara bertaraf dunia yang mampu mengharumkan nama negara tercinta. Sesungguhnya sukan dapat mendisiplinkan masyarakat memanfaatkan masa dengan lebih bermakna.
Di samping itu, bersukan merupakan salah satu instrumen penting untuk mengeratkan hubungan perpaduan dan integrasi masyarakat negara yang berbilang kaum. Hal ini demikian kerana, kegiatan sukan dapat melahirkan semangat kekitaan dalam pasukan untuk meraih kemenangan. Sifat bersatu padu juga dapat dipupuk melalui penglibatan dalam kegiatan sukan kerana bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Lantaran itu, hubungan yang erat dapat melahirkan sebuah pasukan yang kuat. Para penyokong juga dapat menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di samping berkongsi minat dalam sukan yang sama. Dengan ini, nilai-nilai perpaduan seperti bekerjasama, bertoleransi dan meletakkan kepentingan negara dan pasukan melebihi kepentingan diri dapat dilahirkan melalui penglibatan diri dalam bidang sukan. Sekiranya, amalan bersukan menjadi budaya masyarakat sudah pasti keakraban dan kesepaduan masyarakat akan terjalin dan masalah perkauman akan dapat dielak. Justeru , kegiatan sukan dapat mendidik masyarakat bekerjasama dan bersatu padu serta mengeratkan hubungan antara mereka.
Kesimpulannya, penglibatan dalam bidang sukan akan membawa pelbagai faedah kepada masyarakat. Oleh itu , semua lapisan masyarakat amat digalakkan menyertai semua jenis aktiviti sukan kerana bersukan dapat melahirkan masyarakat yang sihat, bersatu padu, berdaya maju dan berdaya saing. Sukan juga mampu mengangkat martabat rakyat dan negara di persada antarabangsa agar mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain. Sesungguhnya , sukan berfaedah kepada individu, masyarakat dan negara. Tegasnya, kegiatan sukan wajar digalakkan kepada semua lapisan masyarakat.
ANAS NABIHAN BIN NORAZAHAR (02DKA20F1127)
LUKMAN HAKIM FIRDAUS BIN MAZLAN (02DKA20F1125)
MUHAMAD IZZAT BIN SAPINGI (02DKA20F1089)
MUHD IQMAL RIZAL BIN ROSLAN (02DKA20F1081)
MOHAMAD ROHI BIN MOHAMAD AZROQI
(02DKA20F1113)
Comments
Post a Comment